KANGAR: “Saya melihat kereta dipandu pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terbang beberapa meter sebelum merempuh tiang lampu di tengah Bulatan Jubli Emas di sini, menyebabkan mangsa tercampak keluar,” kata saksi kemalangan maut membabitkan dua pelajar Unimap, manakala tiga lagi parah di sini, tengah malam semalam.
Dia yang enggan dikenali mendakwa Perodua Kelisa dinaiki lima pelajar terbabit dipandu laju dari arah Arau dan gagal dikawal sebelum terbabas dan melayang ke tengah bulatan terbabit.
Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam, Muhammad Shafiq Izzudin Baharom dan Edgar Emerald Fredrick, masing-masing berusia 19 tahun terkorban manakala tiga lagi cedera parah, termasuk seorang kritikal selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di bulatan berkenaan.
Muhamad Shafiq dari Pontian, Johor, yang ceder teruk di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Fredrick dari Miri, Sarawak, pula disahkan mati di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, kira-kira jam 6.20 pagi.
Kedua-dua mangsa berada di tempat duduk belakang dan tiga lagi pelajar dilaporkan parah termasuk pemandu, Calvin Kabin Chong, 19, dari Ranau, Sabah, yang kini ditempatkan di ICU kerana pendarahan teruk di kepala.
Dua lagi mangsa, Nisardian Shah Mohammad dari Kota Kinabalu, Sabah, dan Aini Fatihah Mohd Sabilan, masing-masing berusia 19 tahun, dilaporkan parah, tetapi stabil dan dirawat di HTF.
Semua mangsa pelajar tahun satu bidang kejuruteraan.
Nisardian berkata, dia yang berada di sebelah pemandu sudah menasihatkan rakannya, Calvin supaya memperlahankan kenderaan kerana sudah hampir dengan bulatan.
“Dia (Calvin) mungkin tidak mendengar apa yang saya cakap dan kenderaan kami terus meluncur laju melanggar tiang lampu di bulatan terbabit. Selepas itu, saya tidak tahu apa yang berlaku hingga sedar sudah terlantar di HTF,” katanya yang patah tangan kanan.
Katanya, dia bersama empat rakannya keluar menaiki kenderaan sewa untuk makan di sebuah restoran di Arau dan kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kolej Kediaman UniMAP di Kampung Wai, Kuala Perlis.
Bapa Muhamamd Shafiq, Baharom Kamar, seorang anggota polis di Kelantan berkata, mangsa anak sulung dari empat beradik dan dia bergegas ke Perlis selepas dimaklumkan kemalangan oleh pihak pengurusan UniMAP kira-kira jam 1.30 pagi.
“Saudara-mara Muhamad Shafiq sedang menunggu jenazah,” katanya yang kelihatan sedih dan enggan mengulas lanjut ketika hadir menuntut jenazah anaknya di bilik mayat HTF. Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamaruddin Husin.
Jenazah Muhamad Shafiq disembahyangkan di Masjid Padang Katong di sini, selepas solat Zuhur sebelum dibawa ke Pontian, Johor manakala Frederick akan diterbang ke Miri, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Rosli Yahaya, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana masih dalam siasatan.
Bagaimanapun, sumber polis ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan kenderaan terbabit dipandu laju ketika menghampiri bulatan, sebelum terbabas dan melayang ke tengah bulatan.
Sementara itu, Dr Kamarudin pula berkata, semua urusan perubatan mangsa dan penghantaran jenazah ditanggung Unimap dan pihaknya mengucap takziah kepada keluarga mangsa.
“Semua pelajar terbabit sedang bercuti seminggu selepas majlis konvokesyen UniMAP pada 15 Ogos lalu,” katanya.
artikel ini dipetik dari metro online
3 comments:
Muhammad Shafiq Izzudin ni merupakan anak saudara saya..
RIP and wish speedy recovery to the survivor
takziah buat keluarga mangsa.
Post a Comment