Kabinet Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP 0809

4:38 PM

Dunia Tekan Israel

Posted by mppunimap_asyraf



GENEVA: Tekanan terhadap Israel semakin meningkat, terbaru oleh pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi yang mahu rejim haram itu disiasat kerana melakukan jenayah perang antarabangsa berikutan tindak-tanduk zalim tenteranya di Gaza. Pada masa yang sama, tentera rejim Zionis menghadapi serang balas sengit oleh pejuang Hamas apabila cuba memasuki pusat Bandaraya Gaza sehingga berundur ke kawasan luar bandar semalam. Hamas dalam satu kenyataan berkata pejuangnya berjaya meletupkan dua kereta kebal Israel tetapi Tel Aviv menafikannya.

Israel didesak disiasat berikutan dakwaan serangan serta pengeboman secara 'sembarangan' dan 'membuta tuli' di kawasan kediaman penduduk awam selain tindakan askarnya menggunakan keluarga Palestin sebagai perisai manusia. Dengan angka kematian hampir mencecah 1,000 orang ketika pertempuran memasuki hari ke-18 semalam, tekanan semakin hebat agar satu siasatan bebas membabitkan insiden tertentu termasuk pengeboman sekolah PBB sehingga menyebabkan 40 orang terbunuh dan persoalan sama ada taktik perang tentera Israel menyalahi undang-undang kemanusiaan. Jawatankuasa kanan hak asasi PBB kelmarin meluluskan resolusi mengecam tindakan Israel kerana 'mengingkari asasi manusia secara besar-besaran.'

Sumber kanan PBB berkata, agensi kemanusiaan badan dunia itu sedang mengumpulkan bukti jenayah perang dan akan diserahkan kepada 'peringkat tertinggi' untuk digunakan pada masa yang sesuai. Beberapa aktivis hak asasi mendakwa kepemimpinan Israel mengeluarkan arahan untuk memastikan kemalangan jiwa pihak tentera berada pada tahap paling rendah tanpa mengambil kira nasib penduduk awam. "Strategi itu secara langsung menyumbang kepada serangan paling dahsyat pernah dilakukan rejim Israel di wilayah Palestin" kata mereka. Tentera Israel dituduh:

-Menggunakan bom berkuasa tinggi di kawasan penduduk awam dengan kesedaran bahawa ia akan menyebabkan kemalangan jiwa yang tinggi.
-Menggunakan senjata yang diharamkan seperti bom fosforus.
-Menahan keluarga Palestin untuk dijadikan perisai manusia.
-Menyerang pasukan perubatan termasuk kematian 12 pekerja ambulans di dalam kenderaan rasmi.
-Membunuh sejumlah besar polis yang tidak mempunyai peranan tentera.


Ketua agensi PBB bagi pelarian Palestin di Gaza, John Ging, berkata ia adalah mengenai keperluan untuk bertanggungjawab, tindakan tidak wajar dan keterlaluan yang diambil tentera selain isu tanggungjawab keseluruhan mengenai terhadap orang awam. "Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak untuk membuat pengadilan tetapi penyiasatan terhadap setiap insiden perlu dilakukan untuk mengetahui tindakan yang dilakukan mengingkari undang-undang antarabangsa," katanya. Tindakan tentera Israel mencetuskan kemarahan luar biasa Palang Merah Antarabangsa selepas askar mengarahkan sebuah keluarga Palestin memasuki bangunan dan mengebomnya, menyebabkan 30 orang terbunuh. Kanak-kanak yang terselamat berpaut pada mayat ibu mereka selama empat hari selepas tentera menghalang mereka daripada diselamatkan. Israel melancarkan serangan ke atas Gaza yang mempunyai 1.5 juta penduduk dengan alasan untuk membalas serangan roket Hamas ke kawasan didiami penduduk Yahudi secara haram. – Agensi

0 comments:

Ranking

Followers

 

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UniMAP | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates